KUALA LUMPUR: Kedudukan hutang kerajaan ketika ini adalah kekal terkawal meskipun pinjaman dibuat bagi membiayai pakej-pakej bantuan dan projek pembangunan bagi menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah berkata pada akhir Ogos 2021, hutang negara mencatat RM965.3 bilion atau 63.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Manakala hutang statutori yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan MITB (Bil Perbendaharaan Islam Malaysia) mencatatkan 59.2 peratus daripada KDNK sehingga Ogos 2021.

"Ia masih berada di bawah 60 peratus daripada KDNK yang telah ditetapkan," katanya pada sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata perbelanjaan yang dilakukan kerajaan sudah pasti memberi impak berganda kepada ekonomi rakyat.

Bagaimanapun, katanya beberapa langkah akan diambil untuk meringankan beban hutang kerajaan termasuk melaksanakan reformasi fiskal.

Ia termasuk melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.

"(Langkah itu merangkumi) Mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada,  memperluaskan asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan kurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai serta menambah baik pentadbiran cukai," katanya.